Hepatitis bertindak bagai api

No Comment - Post a comment


BARU-BARU ini Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mohd Ismail Merican menyarankan supaya penerima darah pada tahun 1995, menjalani ujian darah semula bagi mengesan virus hepatitis C yang boleh mengakibatkan kanser hati.

Realitinya peratus mendapat kanser berkenaan adalah kecil tetapi perlu diketahui bahawa hepatitis yang terdiri dari A, B, C, D dan E bertindak bagaikan api di dalam sekam, bertindak senyap namun boleh mengancam nyawa pengidap tanpa disedari.

Apakah Hepatitis? Ia sebenarnya adalah istilah umum merujuk kepada inflamasi hati yang disebabkan oleh pengambilan alkohol secara berlebihan, bahan kimia bertoksik, pemakanan tidak sihat, sesetengah jenis dadah, penyakit autoimun, penyakit sistem biliari dan jangkitan virus.

Hepatitis C adalah penyebab utama hepatitis yang disebarkan menerusi pemindahan darah namun disebabkan tiada tanda klinikal, kebanyakan orang tidak menyedari dijangkiti virus itu, bagaimanapun virus berkenaan mampu berganda dengan cepat dalam hanya beberapa bulan selepas itu.

Ia disebarkan melalui pemindahan darah atau produk darah yang lain seperti penerima transfusi darah, penerima organ yang menerima organ yang dijangkiti virus hepatitis C, pesakit haemodialisis dan penagih dadah yang menggunakan jarum suntikan yang dijangkiti.

Bagaimanapun transmisi melalui seksual dan daripada ibu mengandung kepada bayi kurang berbanding hepatitis B. Walaupun badan berupaya menghasilkan antibodi, namun virus ini tidak dapat disingkirkan sepenuhnya dan menjadi penghuni jangka panjang di dalam tubuh badan.

Dr Mohd Ismail berkata, pengidap hepatitis C di negara ini, dikesan semakin meningkat di seluruh dunia yang mana dijangka menjangkiti lebih 170 juta orang membabitkan tiga hingga empat juta kes baru setiap tahun!

“Di Malaysia, kes hepatitis C dilaporkan pada 2004 mencatatkan jumlah 745 kes berbanding 33 kes pada 1996. Apa yang membimbangkan ialah hingga kini tiada vaksin menangani hepatitis C,” katanya ketika menyempurnakan seminar kesihatan anjuran Kolej Universiti Islam Malaysia, di ibu kota baru-baru ini. Majlis itu turut dihadiri Dekan KUIM, Prof Dr Nik Mohd Nasri Ismail.

Tujuh puluh lima hingga 85 peratus penghidap hepatitis dikenal pasti boleh mendapat jangkitan yang kronik manakala 70 peratus daripada mereka akan mengalami penyakit hati yang kronik.

Sebanyak 10 hingga 20 peratus penghidap hepatitis kronik pula boleh mendapat sirosis atau bengkak hati. Sirosis lazimnya berlaku dalam tempoh 20 tahun atau lebih. Kebanyakan pembawa penyakit ini akan membawanya hingga ke akhir hayat kerana hingga kini tidak ada vaksin untuk menyembuhkan hepatitis C.

Sementara itu hepatitis B pula adalah yang paling biasa berbanding A dan C. Ia berpunca dari jangkitan virus hepatitis B. Kadangkala ia boleh membawa kepada kerosakan hati kekal dan mempunyai kadar kematian tertinggi.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan, sekitar 300 juta penduduk dunia mengidap penyakit itu dan di Malaysia terdapat 1.3 juta rakyatnya yang dikesan mengidap hepatitis B.

Sebahagian besar pesakit yang dijangkiti viral hepatitis B tidak mengalami sebarang tanda dan ia pula boleh dijangkiti dengan pelbagai cara, antaranya sentuhan darah ke darah seperti tercucuk jarum, suntikan mahupun berkongsi jarum, hubungan seks, berkongsi berus gigi, sikat, percikan darah ke muda dan diwarisi daripada ibu ke anak.

Bagi hepatitis A pula ia juga adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus dan boleh menjangkiti sesiapa saja tanpa mengira umur, usia dan jantina. Ia amat mudah berlaku di kawasan kotor di mana penduduknya tidak mengamalkan kebersihan diri, makanan, tempat tinggal dan persekitaran.

 
This Post has No Comment Add your own!

Post a Comment