Monolog seorang aku

No Comment - Post a comment

Aku tidak minta dilahirkan , bukan jua merancang kewujudanku. Namun aku bersyukur, kelahiran ini mengenalkanku erti kehidupan.
Setiapkali ku bangkit di Subuh hari, tatkala kelopak mata ini terbuka, aku tertanya-tanya, siapa aku? Mengapa aku di sini?
Di suatu alam yang penuh dengan makhluk sepertiku. Serupa tapi tak sama...Terasa bergenang cecair hangat di mata ini bila mengenangkan bahawa aku tidak mengenali diriku sendiri. Aku mendongak ke langit . Hanya langit biru. Kelam, kosong, kusam. Tidak kulihat aku. Aku tunduk ke bumi. Hanya rumput hijau. Tidakku lihat jua.
Tiba-tiba terngiang di pendengaranku, bisikan Tuhanku, Penciptaku , "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaku". Aku terkesima. Betapa besarnya nilai aku dilahirkan. Sebagai hamba-Nya, tubuh ini, jiwa ini, hidup ini, tangan, kaki, telinga, mata, rambut hatta hujung jari perlu aku gunakan untuk-Nya, kerana-Nya, di jalan-Nya......(Jalan-Nya???..Apa itu?)
Tanpa sedarku, tubuh kerdil ini melayang-layang, berputar-putar di satu putaran horizon aneh. Tolong!!!.......Tiada sesiapa mendengar suara ini. Tenggelam dibalik garisan-garisan horizon itu. Horizon itu membawaku ke satu alam yang asing bagiku. Alam yang cukup merimaskan dan memualkan. Setapak ku melangkah..... di setiap sudut, pasangan kelawar dan hantu malam, lelaki dan perempuan berpeleseran tidak mengenal batasan, bertepuk-tampar jadi mainan, ibarat suami-isteri sebelum tibanya alam perkahwinan. Lelaki seperti perempuan begitu juga sebaliknya. Serupa tapi tak sama. Ku langkah setapak lagi....Telingaku rasa pekak seketika dibingitkan oleh muzik-muzik yang melaghokan, mengkhayalkan. Muda-mudi galak berpesta sana-sini. Tiada tujuan, kewajipan kepada Tuhan ditinggal-tinggalkan atau sengaja dilengahkan, sekadar mengisi kekosongan dalam jiwa di usia muda yang mana kekosongan itu hanya terisi sementara cuma. Satu kepalsuan. Nafsu bagaikan fatamorgana di padang pasir. Panas membahang di sangka air. Kaca dianggap permata.
Air mataku jatuh menitis, siapa yang bersalah?, Mereka atau siapa?, saudara seagamaku? Adilkah dituding mereka semata? Ku pasti, satu kuasa yang menjadi punca semua ini dan hanya satu kuasa, "tangan ajaib" yang dapat merubahnya. Tuhanku (ALlah) berbicara lagi : "Sesungguhnya Aku jadikan di muka bumi ini Khalifah" Ya!! Khalifah, pemimpin ummah, pembawa risalah Islam , mata rantai perjuangan RasuluLlah, matlamatnya jelas berhukum dengan hukum ALlah dengan Quran dan Sunnah. "Tangan ajaib" ini sahajalah yang dapat mewarnai bumi usang ini dengan cahaya "sakinah" , ketenangan dan keamanan..... "BALDATUN TOYYIBATUN WA RABBUL GHAFUR" .
Aku dibawa pula ke alam lain. Alam yang cukup tenang dirasakan, mendamaikan, sentiasa dinaungi gumpalan awan putih meskipun matahari terik membakar. Alam yang mana penghuninya berwajah damai lagi mendamaikan kesan cara hidup yang meredhai dan diredhai yang dibentuk acuannya oleh "tangan ajaib" yang mendapat redha-Nya dan juga meredhai. Suasana yang cukup dirindui dan jadi idaman........
Tiba-tiba, berarak awan mendung , hitam, gelap, pekat yang entah dari mana datangnya , mengasak-asak awan putih yang indah menaungi bumi damai ini. Awan hitam yang membawa 1001 musibah. Ketakutan melanda diriku. bimbang diri ini terlontar kembali ke lembah hitam yang pertama ku jejak lewat horizon itu. Baru kusedari siapa aku......., tugasku......dan segalanya terletak di hujung jari ini!

 
This Post has No Comment Add your own!

Post a Comment